Pemahaman 3

SHAH ALAM, 6 April – Puan Hajah Sakinah, pemilik kilang beras telah mengadakan Kem Penyayang untuk Rumah Anak-anak Yatim Sinar Kasih. Kem ini diadakan di Tapak Perkhemahan Kem Perah. Kem ini disertai oleh 40 orang anak yatim.

Menurut Puan Hajah Sakinah, 55 tahun, kem ini bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni seperti kasih sayang, kerjasama, kerajinan, keyakinan, kesabaran, dan sebagainya dalam kalangan para peserta. Aktiviti Kem Penyayang ini dikendalikan oleh anggota keluarga beliau sendiri.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti sukaneka, kembara di denai alam, dan malam kebudayaan. Selain itu, ceramah motivasi turut diadakan. Ceramah ini disampaikan oleh seorang kaunselor, Puan Mariah binti Othman dari Sekolah Kebangsaan Taman Impian. Beliau menyampaikan ceramah yang bertajuk, “Positifkan Diri”.

Puan Hajah Sakinah berasa sungguh gembira kerana program ini berjalan dengan lancar. Pihak pengurusan rumah anak-anak yatim memberikan kerjasama yang baik sekali sepanjang program berlangsung. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

Semasa acara kemuncak, beliau telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM 10,000.00 kepada Pengurus Rumah Anak-anak Yatim Sinar Kasih serta cenderahati kepada anak-anak yatim. Sebelum pulang, beliau sekeluarga bergambar bersama warga rumah anak-anak yatim tersebut sebagai kenang-kenangan.