Pada pagi itu, Nabila ke dapur. Nabila melihat ibunya sedang menyediakan sandwic telur. Abangnya pula membancuh air teh. Selepas itu, mereka sekeluarga duduk di meja makan untuk sarapan.
“Wah, enaknya sandwic telur ini! Ada sayur-sayuran di dalam sandwic ini. Rotinya juga sangat lembut,” kata Nabila.
Puan Zainab tersenyum melihat gelagat anaknya. “Kita mesti makan makanan seimbang yang berkhasiat. Untuk pengetahuan kamu, sandwic telur ini makanan yang berkhasiat kerana mengandungi zat-zat penting seperti karbohidrat, protein, dan vitamin,” kata ibunya.
“Mengapakah kita perlu sarapan pada setiap pagi?” tanya Nabila.
“Kita perlu sarapan pada setiap pagi supaya tubuh bertenaga untuk melakukan tugas-tugas harian dengan lancar. Jika tiada tenaga, tubuh kita akan berasa lemah,” jelas abang Nabila pula.
“Mulai hari ini, Nabila akan sarapan pada setiap hari sebelum ke sekolah. Apabila Nabila cergas, Nabila dapat memberikan tumpuan ketika belajar,” kata Nabila.
Selepas makan, Nabila membantu ibunya mengemas dapur. Nabila mengelap meja makan. Nasri pula membasuh pinggan. Mereka berdua ringan tulang.