Eksperimen 1
Sekeping kertas nipis dipegang secara mengufuk di bawah bibir. Apabila dihembus dengan kuat, kertas itu bergerak ke atas.
Penerangan:
- Aliran udara yang lebih laju di bahagian atas kertas itu menghasilkan tekanan yang lebih rendah.
- Secara relatif, tekanan atmosfera di bahagian bawah menjadi lebih tinggi.
- Beza tekanan ini menyebabkan kertas ditolak ke atas.
Eksperimen 2
Apabila udara dihembus di antara 2 biji bola ping pong yang berdekatan, bola ping pong itu melekat antara satu sama lain.
Penerangan:
- Udara bergerak dengan laju di antara bola ping pong, menyebabkan tekanan gas di antara bola ping pong menurun.
- Tekanan gas di sebelah lain bola ping pong menjadi lebih tinggi, seterusnya menolak kedua-dua bola ping pong mendekati antara satu sama lain.
Eksperimen 3
Sebiji bola ping pong dipegang di dalam suatu corong turas yang ditelangkupkan. Apabila udara dihembus dengan kuat menerusi tiub corong turas itu, bola ping pong terlekat pada corong turas dan tidak jatuh ke bawah.
Penerangan:
- Aliran udara yang laju di bahagian atas bola ping pong menghasilkan tekanan yang lebih rendah, maka secara relatifnya, tekanan atmosfera di bahagian bawah bola ping pong menjadi lebih tinggi.
- Perbezaan tekanan udara di kawasan atas dan kawasan bawah bola ping pong itu menolak bola ping pong itu ke atas.